Perak juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 20 November – Perak muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023 bagi acara regu selepas menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, di sini, semalam.

Muncul johan pasukan Perak membawa pulang RM10,000 beserta piala pusingan, manakala Negeri Sembilan sebagai naib juara menerima RM5,000.

Penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Perak diperkuatkan dua pemain kebangsaan, apit kanan Muhammad Noraizat, apit kiri Aidil Aiman dan tekong import dari Thailand, Jakkrit Thinbangbon nyata terlalu kuat buat Negeri Sembilan.

Biarpun tewas set pertama 24-25, Perak bangkit untuk menang mudah ke atas gandingan tekong kebangsaan, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (apit kiri) dengan kemenangan 21-7.

Pada set tie-break, kelebihan memihak kepada Perak yang mengungguli aksi penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13, sekali gus dinobatkan juara edisi kedua.

Lebih manis apabila dua pemain Perak turut menerima Anugerah Pemain Apit Kanan Terbaik menerusi Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Anugerah Pemain Apit Kiri Terbaik, Aidil Aiman Azwawi.

Sementara itu, Jurulatih Perak, Mohd Azafril Mohd Anuar berkata, kemenangan itu menunjukkan mutu pemain yang baik dan berkualiti sehingga layak bergelar juara.

“Meskipun set pertama nasib tidak menyebelahi kami, pemain cuba di set kedua dan alhamdulillah masing-masing memainkan peranan hingga berjaya.

“Ini adalah kemenangan dinanti-nantikan kerana pada kejohanan yang sama tahun lalu
pasukan Perak hanya muncul juara beregu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1216
Kongsi :
Previous post Piala Emas Khir Johari 2024 tampil kelainan – PSM
Next post PDRM tundukkan Thailand acara beregu Piala Tun Ali 2023
Ubah saiz-+=