Ab Rauf ambil tindakan segera bantu mangsa ribut

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Ogos- Kesemua 58 rumah yang terbabit dalam kejadian ribut di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara akan diberikan bantuan segera termasuk kerja baik pulih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan yang terbabit dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan bantuan segera bagi membantu serta meringankan beban mangsa yang terjejas apabila rumah mereka tidak dapat dihuni dalam tempoh ini selepas dibadai ribut.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, 58 buah rumah terbabit di Kampung Pasir Gembur, Kampung Ayer Hitam Darat dan Kampung Ayer Hitam Pantai terjejas bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Daripada jumlah yang terbabit itu lima buah mengalami kerosakan keseluruhan dan perlu dibaik pulih secara total. Difahamkan oleh penduduk kejadian berlaku secara tiba-tiba dan tiada amaran ribut, ia berlaku dalam keadaan pantas.

“Saya minta kerjasama dari semua agensi kerajaan dan juga ATM untuk sama-sama menyusun atur serta merangka bagi menyampaikan sumbangan bantuan dan baik pulih rumah yang ditimpa bencana ini. Hari ini kita akan buat, mana rumah yang bumbung tercabut akan dipasang bumbung terlebih dahulu dan rumah yang total lost kita akan naikkan semula,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri ditemui ketika turun padang melawat mangsa yang terjejas dan hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Burhanuddin Bachik.

Menurut beliau, selaku wakil rakyat dikawasan itu, pihaknya akan mengambil tanggungjawab bagi membantu kesemua mangsa yang terkesan dan bantuan akan diusahakan dalam kadar segera.

“Saya selaku wakil rakyat, di sini, akan mengambil tanggungjawab untuk membantu sebaik mungkin mangsa yang terjejas ini.

“Kita ambil tindakan segera dengan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas ini. Hari ini juga kita lakukan baik pulih,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, mangsa yang kediaman mereka mengalami kerosakan teruk akan ditempatkan di penempatan sementara sehingga rumah mereka selesai dibaik pulih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1661
Kongsi :
Previous post Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan isu LCS – PM Ismail Sabri
Next post Rang undang-undang larangan tukar parti: Jabatan Peguam Negara dapatkan perkenan Agong
Ubah saiz-+=