Adly tewaskan Pak Wan di Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

ALOR GAJAH 20 November – Mantan Ketua Menteri Melaka mewakili Pakatan Harapan (PH) Adly Zahari, menang di kerusi Parlimen Alor Gajah, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 890 undi majoriti.

Beliau yang merupakan antara calon ‘heavy-weight’ bertanding di kerusi ‘panas’ itu memperoleh 28,178 undi menumpaskan pencabar terdekatnya Shahril Hamdan daripada Barisan Nasional dengan undi sebanyak 27,288.

Adly yang juga Pengerusi PH Melaka menumpaskan penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, mewakili Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh sebanyak 17,211 undi.

Sementara itu calon Pejuang yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Melaka, Muhammad Nazriq Abdul Rahman berada pada keputusan tercorot dengan hanya memperoleh sebanyak 323 undi.

Keputusan rasmi itu disahkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Saiful Hazwa Kipli di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU15 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini, malam tadi.

Kerusi Parlimen Alor Gajah membabitkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rembia, Gadek, Asahan, Machap Jaya dan Tangga Batu, merekodkan 79.20 peratus daripada 92,749 pengundi berdaftar yang telah menunaikan proses demokrasi itu.

Selepas selesai proses pengiraan sebanyak 726 undi telah ditolak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2946
Kongsi :
Previous post PN cipta rekod rampas kerusi Parlimen Jasin
Next post Zuraida tumpas, tiga menteri kabinet pertahan kerusi
Ubah saiz-+=