
ADUN BELIA PERLU BERANI SUARAKAN HASRAT ORANG MUDA
AYER KEROH 6 Mei – Mereka yang dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belia diingatkan supaya lebih lantang dan berani untuk menyuarakan hasrat orang muda selain lebih agresif dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat serta pemimpin negeri.
Perkara itu ditegaskan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan ketika berinteraksi bersama Adun Belia mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Gajah, pada sesi kunjung hormat ke pejabat beliau di Kompleks Seri Negeri, di sini, baru-baru ini.
Fairul Nizam yang juga Adun Asahan berkata, mereka yang dilantik perlu berani tampil ke hadapan dan agresif dalam menyantuni rakyat di DUN masing-masing terutama dalam hal atau isu melibatkan permasalahan belia.
“Jangan tunggu diarahkan baru jalankan peranan sebagai penyebar dasar-dasar kerajaan. Turun padang, santuni juga persatuan belia dan mahasiswa dalam DUN masing-masing bagi memahami denyut nadi orang muda.
“Selain itu kerjasama erat antara Adun Belia dan Adun kawasan adalah amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri benar-benar sampai kepada rakyat, khususnya generasi muda yang merupakan pemacu kepada masa depan Melaka,” katanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang aktif bersama persatuan belia, Fairul Nizam berkata, mereka yang dilantik perlu berani bersuara dan belajar menjadi pemimpin yang boleh mendengar, bertindak serta menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Pertemuan ini membuka ruang diskusi dua hala yang bermakna, memperkukuh semangat kepimpinan belia dan menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan barisan pelapis berkualiti untuk masa depan Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.