Adun Machap Jaya bantu anak yatim piatu beli motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP JAYA 13 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem membantu seorang penghantar makanan membeli motosikal baharu untuk mencari rezeki.

Sebelum ini, motosikal Muhammad Ali Zaidi, 22, dari Taman Melaka Perdana, Alor Gajah mengalami kerosakan hingga menyebabkannya tidak dapat keluar bekerja.

Justeru, atas dasar prihatin Hee Sem mengambil inisiatif membayar wang pendahuluan bagi membeli motosikal baharu dalam usaha membantu anak sulung daripada dua beradik itu kembali bekerja bagi menyara kehidupan mereka.

“Saya bantu adik Muhammad Ali yang juga merupakan anak yatim piatu yang tinggal berdua sahaja dengan adiknya yang berusia 17 tahun di Taman Melaka Perdana ini sebagai tanda prihatin.

“Saya bantu membayar wang pendahuluan sebanyak RM500 dahulu, dan Muhammad Ali akan membayar secara ansuran bulanan kepada bank untuk menunjukkan dia ada komitmen.

“Saya dapat tahu, Muhammad Ali memerlukan motosikal untuk bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara hidupnya dan adik lelakinya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, semoga dengan bantuan sedikit ini dapat meringankan bebanan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, beliau turut dimaklumkan motosikal Muhammad Ali sebelum itu telah rosak dan memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dibaiki.

“Jadi, dengan bantuan ini, saya harap adik Muhammad Ali akan cekal, kuat semangat untuk teruskan mencari rezeki dan semoga adik ini diberi kekuatan serta kesabaran menjalani kehidupan memandangkan beliau adalah anak yatim,” katanya.

Pada lawatan baru-baru ini, pihak Japerun Machap Jaya turut menyumbangkan kit makanan kepada Muhammad Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2675
Kongsi :
Previous post Mayat reput tepi jalan berkemungkinan orang hilang
Next post Pelajar cemerlang STPM, STM terima pengiktirafan Kerajaan Negeri
Ubah saiz-+=