Agensi bawa masuk 51 pekerja asing positif COVID-19 ke Melaka disiasat polis

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Polis Melaka menyiasat sebuah agensi pekerjaan asing berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor kerana membawa masuk pekerja asing dijangkiti COVID-19 ke negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 Julai lalu berkenaan 51 pekerja asing yang baharu tiba ke negeri ini disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, siasatan mendapati agensi pekerjaan itu membawa masuk 79 pekerja asing dari beberapa negeri untuk bekerja secara kontrak di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ayer Keroh, sebelum 51 daripadanya dikesan positif COVID-19.

“Syarikat ini didapati gagal membuat ujian saringan COVID-19 terhadap semua pekerja asing terbabit seperti mana ditetapkan.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan dengan memanggil pihak pengurusan syarikat agensi pekerja asing tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Majid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana niat jahat untuk merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan juga Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP).

“Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan, ia boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) PPDPP pula, ia (syarikat) boleh dikompaun sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

728
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kilang elektronik Batu Berendam tutup kali ketiga
Next post COVID-19: Rekod baharu tertinggi dengan 9,180 kes hari ini
Ubah saiz-+=