Ahli Majlis berperanan sebagai ‘duta kecil’ negeri – KM

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 11 Feb – Ahli Majlis disifatkan sebagai ‘duta kecil’ antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan anggota masyarakat di sesebuah kawasan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Justeru, beliau berkata, amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis amat berat dan penting memandangkan peranan mereka dapat membantu aspek pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Barisan Ahli Majlis baharu perlu memahami matlamat PBT sebagai kerajaan tempatan serta dasar kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Dalam melaksanakan kewajipan dan tugas sebagai Ahli Majlis, lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang.

“Peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu isu-isu tempatan, nasional mahupun di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Ahli Majlis PBT di Hotel Swiss Garden, hari ini.

Sulaiman berkata, setiap Ahli Majlis PBT juga perlu turun padang melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

“Inilah tugas yang saya sering katakan menjadi tidak popular dalam kalangan sebahagian pihak untuk memenuhi keperluan sebahagian pihak yang lain.

“Ahli Majlis penasihat kepada PBT mengikut profesion atau kepakaran masing-masing, bagi memacu pembangunan Melaka lebih mampan, peranan dan tanggungjawab sebenar Ahli Majlis perlu dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, tahun ini kerajaan negeri masih meneruskan pelantikan Ahli Majlis dalam kalangan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wakil Pertubuhan Belia dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) di setiap PBT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1121
Kongsi :
Previous post Mohd Khairuddin digugur daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama
Next post Petisyen DUN Sungai Udang diteruskan, bicara penuh
Ubah saiz-+=