Ahli Parlimen senada pindaan Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Jawatankuasa Khas

Masa Membaca:3 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR, 11 April – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini senada untuk merujuk terlebih dahulu pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ke Jawatankuasa Pilihan Khas, sebelum dibentangkan ke Mesyuarat Khas Parlimen akan datang.

Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan Rang Undang-undang pindaan Perlembagaan itu bagi membolehkan Akta Lompat parti digubal, mereka rata-rata berpendapat Perkara 10(3)(a) terlalu luas dan perlu diletakkan sekatan-sekatan tertentu berhubung perkara lompat parti sahaja.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang bersetuju agar pindaan itu diperincikan supaya tidak disalah guna oleh pihak tertentu, selain perlu menghormati prinsip asas dalam perlembagaan, kebebasan dan sistem demokrasi, mengiktiraf hak bersuara dan hak berpersatuan yang digariskan dalam Perlembangaan Persekutuan.

“Kita mohon Perkara 10(3)(a) diperkemaskan, supaya pindaan itu dikhususkan kepada soal defection atau permindahan parti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut mencadangkan agar pembentangan (bacaan kali kedua) pindaan Perkara 10 Pelembangaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diadakan bersekali pada sidang khas akan datang.

Sementara itu, Anthony Loke (PH-Seremban) bersetuju bahawa pindaan Perkara 10 (3) terlalu luas dan agak bahaya jika tidak dilaksanakan dengan cermat kerana ia membolehkan mana-mana parti yang membentuk kerajaan pada masa depan membuat akta lain untuk mengawal atau menyekat Ahli Parlimen.

“Sehubungan itu, satu konsensus perlu dicari terlebih dahulu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas adalah jalan terbaik supaya perkataan lebih khusus diletakkan agar sekatan boleh dilakukan hanya berkenaan lompat parti sahaja, tidak kepada perkara-perkara lain,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau seterusnya mencadangkan masa sebulan untuk jawatankuasa melaksanakan tanggungjawab untuk memperhalusi cadangan pindaan dan sidang khas bagi membentangkannya diadakan pada penghujung Mei.

“Dengan ini, selepas sidang khas ini maka sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Malaysia sudah ada satu akta bagi menyekat lompat parti dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap demokrasi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata DAP mencadangkan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mewakili parti berkenaan dalam jawatankuasa pilihan khas itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) pula berkata setiap hujah yang dikemukakan Ahli Parlimen perlu diambil kira dan diteliti sebelum rang undang-undang itu diluluskan serta menyifatkan rang undang-undang itu akan membatasi hak kebebasan Ahli Dewan Rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata dalam siri libat urus mengenai rang undang-undang itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti.

“Saya tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya oleh sebab-sebab tertentu dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Ada banyak sebab Ahli Parlimen dipecat daripada parti atau meninggalkan partinya, (antaranya) dipecat kerana melanggar disiplin atau kerana ‘cross the floor’ atau menyatakan sesuatu yang hak tapi tak disenangi oleh pemimpin parti dan dipecat dari partinya,” katanya.

Muhyiddin turut mencadangkan klausa dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang antilompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum dikehendaki mengosongkan kerusinya.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) mencadangkan supaya klausa Perkara 10 (3) diberikan pindaan lebih menjurus dan tidak terlampau luas, selain mahu jawatannkuasa pilihan khas meletakkan isu ‘recall remedy’ ke atas Perkara 48 (6) iaitu rakyat yang akan menentukan seorang wakil rakyat itu boleh bertanding atau tidak.

“Ini undang-undang rakyat, biar rakyat menentukan, jika perkara 48 (6) ini dibuang, wakil rakyat nanti berhak untuk bertanding berkali-kali, jadi kita letakkan rakyat supaya mereka menentukan mereka (wakil rakyat) boleh bertanding atau tidak,” katanya.

Perkara 48 (6) menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan pelaksanaan undang-undang antilompat parti turut melibatkan ahli Dewan Negara susulan terdapat ahli Dewan Negara yang dilantik parti, telah beralih sokongan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) pula mencadangkan undang-undang antilompat parti hanya dikhususkan kepada Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar hak asasi rakyat menyertai mana-mana persatuan tidak terjejas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post Isu penjualan tanah lapangan terbang: SPRM akan rakan keterangan beberapa individu
Next post Aidilfitri: Hanya 10 peratus pegawai, anggota polis dibenar bercuti – Bukit Aman
Ubah saiz-+=