Isu penjualan tanah lapangan terbang: SPRM akan rakan keterangan beberapa individu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

IPOH, 11 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama berkata individu terbabit akan dipanggil mulai minggu ini bagi merakamkan keterangan berhubung isu tersebut.

“SPRM telah mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan isu berkenaan dan akan mulai memanggil dan merakam percakapan saksi-saksi terlibat khususnya melibatkan Ahli-ahli Lembaga Mesyuarat jabatan berkaitan yang telah bersidang.

“Ia berdasarkan minit mesyuarat terbabit bagi mendapatkan penjelasan masing-masing berhubung isu tanah yang dipertikaikan,” katanya yang enggan mendedahkan mengenai jumlah individu dan jabatan yang akan dipanggil.

Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi, pada 5 April lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH, kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa, cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri, dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post MH2664: MAB fail laporan kejadian mandatori kepada CAAM
Next post Ahli Parlimen senada pindaan Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Jawatankuasa Khas
Ubah saiz-+=