Ahli silap mata Melaka, tidak kurang hebatnya

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 11 Mac – “Aksi silap mata ini bukan semata-mata helah sebaliknya ada kehalusan seninya yang tersendiri,” itu kata ahli silap mata San Wee, 41.

Dia yang juga Presiden Malacca Magician United (MMU) berkata, kerjaya atau bakat ahli silap mata tidak diterima secara meluas kerana ada yang beranggapan aksi dipamerkan hanya helah dan kurang memberi impak.

Katanya, meskipun bagaikan ‘dianak tiri’ namun pencapaian ahli silap mata khususnya dari Melaka tidak kurang hebatnya dan boleh dibanggakan.

“Tidak dinafikan ahli silap mata di luar negara hebat kerana mereka mempunyai modal yang besar berbanding kita di sini.

“Namun bagi saya, ahli silap mata kita juga tidak jauh beza dan setaraf dengan mereka. Seperti saya sendiri pernah ke pertandingan peringkat dunia sebanyak dua kali iaitu ke Beijing, China dan Busan, Korea.

“Cuma boleh katakan ahli silap mata kita tidak kedepan seperti yang lain kerana media kurang promosi atau hebahkan kepada umum. Malah ramai tidak tahu di Melaka sendiri kita ada ahli silap mata yang hebat,” katanya.

Dia ditemui ketika melakukan lawatan ke rumah ahli silap mata veteran Hock Tan, 93, bersama ahli kelab MMU di Ujong Pasir, di sini, malam tadi

Menurutnya, dia amat berharap agar rakyat dapat memberi peluang dan menerima ahli silap mata seperti di luar negara, sekali gus ia dapat membantu ‘penghibur’ ini menambah lagi seni persembahan.

“Dalam menggilap lagi bakat dan kemahiran seni persembahan silap mata kami mengikuti kelas, malah ada sampai ke luar negara. Ini bagi mengubah persepsi sesetengah masyarakat yang beranggapan silap mata ini tidak berkualiti.

“Hakikatnya itu mereka hanya lihat di media sosial, sehingga ada juga yang berfikiran silap mata ini hanya untuk hiburan anak-anak sahaja.

“Sebab itu kita banyak keluar dan mengadakan persembahan bagi membuktikan kualiti bukan sahaja persembahan tetapi kemahiran dimiliki,” katanya.

Ujarnya, dalam memperjuang dan mengetengahkan bakat ahli silap mata, dia bersama rakan yang bersepakat menubuhkan kelab MMI yang dulunya hanya disertai kira-kira tujuh orang dan kini selepas tujuh tahun penubuhan, jumlah ahlinya sudah mencecah 20 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2940
Kongsi :
Previous post MAIM peruntuk RM6.61 juta bantuan Ramadan, Syawal
Next post Lebih 9,000 pesakit jalani dialisis setiap tahun – Dr. Zaliha
Ubah saiz-+=