Aidiladha: 105 ‘Abang Grab’ bantu agih daging korban

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KESIDANG 10 Julai – Seramai 105 penunggang penghantar makanan (p-hailing) menyertai misi sukarelawan membantu mengagihkan daging korban dalam Karnival Korban Al Hikmah yang diadakan di Surau Al Hikmah, Lorong Pandan, di sini hari ini.

Sekumpulan ‘Abang Grab’ yang memakai baju seragam hijau melakukan khidmat itu secara percuma sebagai simbolik Hari Raya Aidiladha, tahun ini.

Terdahulu, konvoi mengagihkan daging korban itu telah dilepaskan di pekarangan surau terbabit kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Pengerusi Surau Al-Hikmah Lorong Pandan, Md Khairulzaki Misbah berkata, khidmat ‘rider’ daripada Persatuan Penghantar Makanan Melaka itu bukan sahaja menjadi satu keunikan tahun ini, bahkan turut melancarkan lagi proses pengagihan daging korban kepada penerima.

Beliau berkata, ibadah korban yang diadakan di surau itu merupakan antara yang terbesar di Melaka setakat ini apabila menumbangkan sebanyak 36 ekor ternakan iaitu 29 ekor lembu serta tujuh ekor kambing.

“Ibadah korban yang diadakan ini merupakan julung kali diadakan terbesar membabitkan 210 penama yang menyertai ibadah ini.

“Kaedah menggunakan penghantar makanan dapat mempercepatkan proses agihan daging korban ke qariah kawasan sekitar.

“Agihan ini akan diserahkan kepada lebih kurang 800 asnaf terlibat dan penama mereka membabitkan beberapa kawasan di bahagian Cheng, Limbongan, Tengkera, Bakar Batu, Balai Panjang dan Kampung Padang,” katanya ketika ditemui pemberita pada karnival berkenaan.

SUKARELAWAN terlibat membantu memasukkan bungkusan daging korban ke bakul makanan sebelum dihantar ke rumah penerima.

Terdahulu, karnival yang diadakan bermula jam 10 pagi tadi telah menerima sambutan luar biasa daripada penduduk dan sukarelawan terlibat dengan seramai 108 pelapah daging ditugaskan sepanjang program itu.

Untuk rekod, karnival itu dikelolakan Koperasi Surau Al Hikmah menerusi kerjasama Pertubuhan Sinar Insan dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post Tipu pakej ibadah haji: 5 individu direman
Next post Lembu ‘sado’ dikorbankan, manfaat 1,000 asnaf
Ubah saiz-+=