Sorting by

×

Ajal pekerja kilang rempuh papan tanda

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

ALOR GAJAH 5 April – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda di Jalan Telok Gong, Kuala Sungai Baru berhampiran stesen janakuasa di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, Muhammad Haziq Md Affandi, 19 tahun yang beralamat di Felda Palong Timur 3, Batu Anam, Segamat meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Pengkalan Balak menghala ke Kuala Sungai Baru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang papan tanda di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa bekerja sebagai pekerja kilang di sebuah kilang telur di Batu Berendam dan mangsa tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala motosikal mangsa dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1292
Kongsi :
Previous post Peduli gelandangan, sifar kemiskinan
Next post Pelancong Singapura menginap di Hotel MITC berpeluang dapat diskaun sewa hotel
Ubah saiz-+=