Aksi naga terpanjang pikat hati orang ramai

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 2 Februari – Meskipun cuaca panas terik ratusan pengunjung di Jalan Jonker tidak berganjak dan setia menunggu untuk menyaksikan perarakan naga yang disifatkan sebagai terpanjang dan terbesar di dunia.

Lebih menarik relika sepanjang 588 kaki (179.2 meter) dengan berat bahagian kepala 60 kilogram (kg) diarak 180 individu termasuk pelajar sekolah Negeri Melaka dan China itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, usaha dan insiatif Jawatankuasa Jonker Walk adalah sesuatu yang luar biasa dan amat teliti kerana ia turut membabitkan penyertaan dari China.

“Perarakan dengan replika terpanjang sebegini adalah julung kali diadakan dan ternyata ia berjaya memukau setiap orang yang melihatnya kerana mahu menjayakan acara seperti ini bukan sesuatu yang mudah.

“Menerusi ketekunan dan semangat kerjasama pihak terlibat perarakan ini berjaya dilaksanakan dengan amat baik apatah lagi ia simbolik kepada sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyampaian sijil MBOR bersempena perarakan naga terpanjang dan terbesar di Jonker Walk, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kehormat Persatuan Wushu, Tarian Naga dan Tarian Singa Negeri Melaka, Datuk Kenny Low Teck Fatt; Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Wira Gan Tian Loo serta Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Besar China di Malaysia, Chang Shan.

Menurut Zaidi, persembahan perarakan itu juga secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pencapaian menerusi perarakan ini dapat membantu Melaka dalam membuat persediaan menyambut World Tourism Day atau Hari Pelancongan Dunia 2025 selain bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

“Malah menariknya juga perarakan ini kerana ia menunjukkan jalinan hubungan diplomatik yang amat baik antara China dengan Malaysia khususnya Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1885
Kongsi :
Previous post Taman karavan di Sungai Rambai
Next post Arca flora serikan bulatan MITC dan Seri Negeri
Ubah saiz-+=