Aktifkan semula Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, meminta Kerajaan Negeri mengaktifkan semula Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Negeri Melaka bagi meneraju inisiatif hijau dan mitigasi perubahan iklim.

Menurut beliau, beberapa inisiatif hijau yang berimpak tinggi harus diteruskan seperti inisiatif kecekapan tenaga, mempertingkatkan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran atau ‘circular ekonomi’ dan penggunaan produk bio-degradasi.

“Kerajaan Negeri juga boleh memulakan inisiatif untuk menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi dan memperbanyakkan lokasi stesen pengecas elektrik di sekitar Melaka.

“Selain itu, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka boleh mengambil peluang di dalam Bursa Carbon Exchange (BCX) yang merupakan Pertukaran Pasaran Karbon Sukarela (Voluntary Carbon Market) Malaysia. BCX adalah pasaran yang memudahkan perdagangan kredit karbon bekualiti tinggi melalui kontrak karbon.

“Pihak korporat boleh membeli kredit ini untuk mengimbangi jejak karbon mereka manakala penjualan kredit karbon akan membantu membiayai Projek Pengurangan GHG Domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pembukaan persidangan Pertama, Pengggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Tun Mohd Ali berkata, unjuran pengurangan kadar intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus menjelang 2030 telah dirancang sejajar dengan komitmen negara di dalam ‘Nationally Determined Contribution (NDC) berdasarkan faktor peningkatan ekonomi negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Segerakan agenda perdigitalan di Melaka
Next post Pejalan kaki maut dirempuh kereta
Ubah saiz-+=