Segerakan agenda perdigitalan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Agenda perdigitalan di Negeri Melaka perlu disegerakan, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata, teknologi tersebut amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan inovasi di Melaka selain memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Tambah beliau, setiap projek pembangunan baharu juga perlu memastikan infrastruktur telekomunikasi disediakan di peringkat perancangan lagi.

“Rakyat mahukan perkhidmatan telefon dan internet yang stabil, pantas dan menyeluruh, untuk itu Kerajaan Negeri telah menakrifkan internet sebagai utiliti ketiga sama seperti bekalan air dan elektrik.

“Melaka telah menerima liputan 5G sejak pelancarannya pada Disember 2022 yang lalu, sebanyak 98 lokasi telah tersedia dengan perkhidmatan 5G dan kadar penembusan 5G berada pada 54.3 peratus di kawasan berpenduduk di negeri ini.

“Kita sasarkan sebanyak 207 lokasi baharu akan menerima perkhidmatan ini di Melaka bagi tahun 2023, saya harap rakyat Melaka dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi ini untuk meningkatkan lagi produktiviti dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Tambah beliau, cadangan menggunapakai prosedur pemasangan utiliti bagi permohonan proses penggantian lampu jalan dan pemasangan pemancar ‘smart pole 5G’ juga akan mempercepatkan usaha pembangunan infrastruktur 5G di Melaka.

“Prosedur ini akan dilaksanakan oleh Bahagian Koridor Infrastruktur (BKI),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Kaji taraf perjawatan penjawat awam Melaka
Next post Aktifkan semula Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim di Melaka
Ubah saiz-+=