Aktiviti khurafat, pemujaan di Pulau Besar terkawal

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TELOK MAS, 4 Oktober – Aktiviti khurafat dan ritual pemujaan di Pulau Besar semakin terkawal, kata Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Katanya, perkara itu adalah hasil pemantauan berterusan dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka(MPPM) dan beberapa agensi lain.

Menurutnya, beberapa lokasi didakwa menjadi tempat pemujaan sebelum ini seperti Makam Tok Putih dan Tok Janggut telah dilupuskan hasil operasi gali dan musnah dijalankan sejak dua tahun lalu.

photo1664875346
KAKITANGAN Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Norazam Ismail, 52 menunjukkan bekas tapak makam nenek kebayan yang telah dirobohkan di Pulau Besar, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Pemantauan ke atas elemen-elemen atau monumen yang ada keraguan berhubung dengan akidah di pulau Besar ini, Alhamdulillah semuanya terkawal.

“Tiada sebarang cubaan untuk membangunkan semula makam yang telah kita robohkan sebelum ini, malah difahamkan JAIM berjaya mematahkan pergerakan masuk sebuah kumpulan ajaran sesat ke Pulau Besar awal Jun lalu.

“Meskipun pemantauan dilakukan mendapati ada beberapa cebisan alat-alat dipercayai untuk kegunaan pemujaan namun saya percaya ia dilakukan individu secara tersembunyi dan tidak melibatkan kumpulan yang besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas sesi lawatannya ke Pulau Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Datuk Rahimin Bani.

photo1664871148
TAPAK makam tok putih yang telah dirobohkan di Pulau Besar, Melaka. Foto: MR. AZLI

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke Makam Tok Putih, Makam Tok Janggut, Perigi Nenek Kebayan dan Gua Kepala Ular didakwa lokasi pemujaan turut menjumpai cebisan daun pandan, setanggi, pewangi ros dan kelopak bunga yang dipercayai digunakan bagi amalan ilmu tertentu.

Abdul Halim berkata, perkara itu bagaimanapun sedang dalam pemerhatian pihak JAIM untuk tindakan selanjutnya.

photo1664870547
BARANGAN dipercayai digunakan dalam aktiviti pemujaan di Pulau Besar. . Foto: MR. AZLI

“Memang tidak dinafikan masih ada aktiviti mengabdikan diri kepada makam-makam ini sejak dahulu lagi, tetapi ia telah banyak berkurangan kerana pasukan risik sentiasa memasang mata dan telinga.

“Semua ini adalah usaha berterusan kita dalam memastikan Pulau Besar menjadi lokasi pelancongan yang patuh syariah dengan tiada elemen-elemen khurafat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3440
Kongsi :
Previous post KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat
Next post MIDF unjur inflasi 2022 Malaysia berada pada purata 3 peratus, tahun depan 2.3 peratus
Ubah saiz-+=