Aktiviti selam skuba, snorkeling sekitar Mersing akan diteruskan selepas penilaian risiko

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MERSING, 8 April – Aktiviti selam skuba, selam snorkel dan lawatan pulau-pulau di sekitar perairan Mersing yang dihentikan berkuat kuasa serta-merta semalam, hanya akan diteruskan selepas penilaian risiko dilakukan, kata Pegawai Daerah Mersing Mohammed Shakib Ali.

Beliau berkata ini kerana, insiden kehilangan penyelam di perairan itu pada Rabu lepas adalah yang kedua berlaku membabitkan pengemudi bot yang dikesan berada di bawah pengaruh dadah.

“Aktiviti-aktiviti pelancongan seperti island hopping dan sebagainya, akan diteruskan semula apabila kita buat penilaian risiko mengenai aktiviti di laut memandangkan ini merupakan insiden kedua kita dapati bahawa pengemudi bot positif dadah.

“Oleh itu, pada saya perlu ada satu pendekatan untuk kita bersama-sama dengan persatuan atau pemiik bot untuk kita pantau kakitangan mereka semasa mengendalikan aktiviti di laut,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Menurut Mohammed Shakib, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku sehingga mendatangkan keraguan kepada pelancong yang mahu mengunjungi daerah itu, berikutan insiden berkenaan.

Selain itu, Mohammed Shakib berkata Majlis Daerah Mersing (MDM) menerusi Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian sedang dalam peringkat menguatkuasakan peraturan aktiviti air.

Katanya, di bawah peraturan itu akan dimasukkan syarat bahawa pusat menyelam perlu mempunyai lesen selain melaporkan setiap aktiviti mereka serta mengenakan bayaran berpatutan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.

Pada tengah hari Rabu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggol, di sini.

Susulan itu, tekong bot yang membuat laporan mengenai kehilangan itu, ditahan selepas memberi keterangan pada pukul 11.30 malam hari yang sama, selepas ujian air kencingnya menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1126
Kongsi :
Previous post Polis Perak rampas 4.5 kg dadah, tahan pengedar di tepi ladang kelapa sawit
Next post Bertahun diberi notis, restoran masih ingkar arahan JAIM
Ubah saiz-+=