Al-Quran rapatkan ukhuwah

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 17 September – “Selain berkumpul bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran, program seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim antara Muslim,” kata peserta Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Peringkat Negeri Melaka, Sabariah Awang Nong.

Sabariah, 57, berasal dari Pahang berkata, penganjuran majlis itu wajar diteruskan kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap kali diadakan.

“Melalui majlis ini kita bukan sahaja dapat mempertingkatkan lagi mutu bacaan malah ukhuwah antara peserta yang datang dari pelbagai negeri dapat dieratkan lagi.

“Al-Quran menyatukan semua dibawah satu bumbung dan bagi saya wajar terus diadakan. Malah ini kali ketiga kami datang ke Melaka bagi majlis seperti ini,” katanya.

Sementara itu peserta dari Negeri Sembilan, Wan Junainah Wan Yaacob, 48, berkongsi perasaan teruja berikutan program pertama kali disertainya itu berlangsung dengan meriah.

“Alhamdulillah, program bacaan al-Quran sebegini memberi 1001 manfaat, selain dapat mengalunkan bacaan ayat suci kami dapat eratkan persaudaraan antara Muslim.

“Memang tidak sangka disertai lebih 1,000 orang dan bagi saya program seperti ini wajar untuk disertai oleh semua lapisan usia kerana kita sama-sama dapat mendidik rohani,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sahabat al-Quran Negeri Melaka yang juga Pengerusi Pertubuhan Sahabat al-Quran Malaysia Datuk Dr Md Sirat Abu, majlis itu diadakan saban tahun bersempena Sambutan Hari Malaysia dan kali ini adalah penganjuran kali keempat selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, sambutan diterima daripada peserta dari negeri lain termasuk Perlis, Perak, Terangganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Johor amat meriah apabila hari ini seramai 1,100 orang dapat bersama alunkan ayat suci al-Quran.

“Melalui program ini peserta dapat mempertingkatkan bacaan mereka. Selain mensasarkan peserta wanita kita juga sedang usahakan penyertaan kaum lelaki,” katanya.

Menurutnya, program seumpama itu jugamampu membantu menyumbang pendapatan kepada Kerajaan Negeri menerusi sektor pelancongan.

“Peserta khusus daripada negeri luar yang datang juga adalah pelancong, mereka menginap di hotel dan secar atidak langsuung bantu kerajaan untuk tingkatkan pelancongan.

“Selain negeri dari Semenanjung Malaysia, kita juga sedang usahakan penyertaan dari Sabah dan Sarawak, kedua-dua negeri ini menunjukkan minat untuk sama-sama memeriahkan alunan al-Quran ini tetapi tidak mulakan lagi,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1757
Kongsi :
Previous post Program rakyat suntik semangat patriotik
Next post Pasukan bola jaring Melaka sasar kedudukan empat terbaik
Ubah saiz-+=