Alor Gajah bakal jadi bandar koko pertama dalam negara

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 September – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu menjadikan Alor Gajah sebagai bandar pertama yang menyediakan koko premium di dalam negara.

Setiausaha Politik KPPK, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata, pihaknya akan berusaha untuk mempromosikan tanaman koko tersebut sebagai agenda utama kementerian yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

“Saya melihat status biji koko yang datang dari Alor Gajah ini adalah premium dan pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa kerana mempunyai nilai kualiti yang tinggi.

“Koko di Negeri Melaka ini adalah premium bermaksud ia mempunyai standard di peringkat antarabangsa, jadi hari ini saya bersama Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) turun padang melawat sendiri ladang koko ini.

“Malah syarikat ternama pengeluar coklat Harriston turut mengikuti kami dalam lawatan ini bagi memastikan beberapa projek kecil berkaitan tanaman koko di negeri ini dilaksanakan.

“Koko juga merupakan satu nilai eksport dagangan terbesar dalam Malaysia, cuma sekarang ini dah ada pelbagai variasi tanaman, jadi kita perlu promosikannya…mana tahu di masa akan datang bandar Alor Gajah menjadi bandar koko pertama dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan lawatan di ladang koko syarikat Ting Agro Enterprise di Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar CMI, Masrul Faizal Mohamad.

Jelasnya, pihaknya tertarik untuk melawat ladang koko tersebut di negeri ini untuk diadaptasikan di peringkat negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Melaka.

“Saya sendiri bersama CMI untuk memastikan usaha ini bukan sekadar terhenti di peringkat kementerian, Lembaga Koko Malaysia juga telah menjalankan beberapa usaha tetapi kita berharap usaha itu diadaptasikan di peringkat negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri.

“Insya-Allah beberapa rancangan dari segi penstrukturan perniagaan di peringkat hiliran akan dilaksanakan, saya membawa pemain industri yang lama dalam bidang ini iaitu Harriston orang yang sudah lama dalam penghasilan coklat ini,” katanya.

Katanya lagi pengusaha koko di Melaka ini menghasilkan ‘single origin’ daripada benih atau biji koko yang premium.

“Ini merupakan satu pencapaian sangat baik, ramai antara rakyat kita tidak tahu bahawa biji koko yang terbaik datangnya dari Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2677
Kongsi :
Previous post 58 lokasi sampah haram di Melaka dipantau
Next post Kemalangan jalan raya: Lebih 1,000 kematian babitkan kanak-kanak
Ubah saiz-+=