Sorting by

×

Alor Gajah Digital platform aduan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ALOR GAJAH 26 Februari – Aplikasi Alor Gajah Digital yang dilancarkan mampu menghubungkan rakyat di parlimen itu dengan pentadbiran kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan dihadapi.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari berkata, aplikasi itu merupakan platform baharu yang amat berguna dan perlu dimanfaatkan masyarakat terutama bagi melaporkan setiap aduan agar dapat diselesaikan dengan segera.

Adly berkata, setiap permasalahan yang berlaku boleh segera diadukan menggunakan aplikasi itu dan ia akan terus disalurkan kepada agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan terbabit.

“Ini akan memudahkan kita kerana aplikasi ini dihubungkan antara agensi kerajaan dan kita akan bertindak di peringkat Parlimen secara digital.

“Melalui platfrom ini ia bukan sahaja akan meningkatkan hubungan kita dengan masyarakat malah memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan keusahawanan dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di Kampung Gangsa, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Katanya, aplikasi terbabit juga membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan promosi perniagaan atau perkhidmatan yang dijalankan di Parlimen terbabit secara percuma.

“Jika ada peniaga ingin mempromosikan perniagaan mereka, boleh terus kongsi maklumat menerusi aplikasi ini dengan mengisi butiran seperti lokasi dan sebagainya dan ia akan terpapar dalam aplikasi ini.

“Langkah ini akan membantu peniaga di Parlimen Alor Gajah mempromosikan perniagaan mahupun perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Katanya Pusat Khidmat Rakyat yang dilancarkan hari ini merupakan salah satu inisiatif beliau mendekati rakyat agar perhubungan antara pentadbiran parlimen dan rakyat dapat dipertingkatkan.

“Pusat ini beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang dan kita harap pusat ini mampu menjadikan penghubung rakyat di peringkat parlimen.

“Kita memang mengalu-alukan sebarang bentuk aduan, cadangan ataupun kolaborasi dalam pusat khidmat ini kerana apa yang paling penting adalah memastikan setiap keperluan rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2060
Kongsi :
Previous post Pesawat FA-50 demi kesiapsiagaan pertahanan negara
Next post 130 kanak-kanak ‘masuk jawi’ percuma
Ubah saiz-+=