Anak-anak Masjid Tanah terima pendidikan berkualiti

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 13 Januari – Peningkatan Peratusan Layak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah membuktikan para pelajar di luar bandar turut menerima pendidikan berkualiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan data Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, pelajar di Parlimen Masjid Tanah telah mencapai Gred Purata 4.95, selain 95.31 peratus layak menerima sijil SPM pada peperiksaan tahun 2022 yang lalu.

“Menerusi pencapaian ini menandakan kebanyakan anak-anak yang menerima pendidikan di sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah ini telah mencapai satu pendidikan yang berkualiti.

“Terima kasih kepada PPD Alor Gajah dan semua usaha keras guru-guru yang sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang bermutu dan berkualiti kepada anak Masjid Tanah.

“Malah saya juga dimaklumkan berdasarkan analisis keputusan percubaan SPM 2023 yang lalu telah merekodkan keputusan yang cukup memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Pecutan Akhir SPM Parlimen Masjid Tanah diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pihaknya mensasarkan Peratusan Layak Sijil SPM bagi Parlimen itu bagi peperiksaan tahun 2023 meningkat kepada 98.14 peratus, selain mencapai Gred Purata 4.73.

“Saya percaya kejayaan yang dicapai ini merupakan sokongan dan usaha pihak pentadbir sekolah, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sedaya upaya mengadakan pelbagai program membantu pelajar menghadapi peperiksaan.

“Usaha murni ini hendaklah diteruskan dari semasa ke semasa demi kepentingan masa depan anak-anak yang bakal menjadi pewaris modal insan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post 23 institusi TVET menanti anak Melaka
Next post Penunggang motosikal lawan arus putus kaki kanan
Ubah saiz-+=