Penunggang motosikal lawan arus putus kaki kanan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ALOR GAJAH 13 Januari – Seorang penunggang motosikal yang dipercayai berhenti di laluan kanan lebuh raya dalam keadaan melawan arus putus kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi di Kilometer 214.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara itu, mangsa, lelaki berusia 40 mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna kuning dipercayai berhenti dalam kedudukan melawan arus (menghala ke selatan) di laluan kanan lebuh raya.

Pada waktu itu datang sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur memandu di lorong kanan telah ternampak mangsa dan cuba mengelak.

“Pemandu kereta hanya sempat mengelak sedikit dan melanggar kaki mangsa hingga menyebabkan kaki kanannya putus sehingga ke paras lutut.

“Hasil siasatan dapat dibuktikan mangsa dalam kedudukan berhenti dan melawan arus berdasarkan kerosakan pada bahagian hadapan motosikal, selain kaki kanannya dilanggar.

“Mangsa telah dibawa ke zon merah Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan,” katanya.

Arshad berkata, kenderaan terlibat telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan saksi bebas diminta tampil memberi keterangan kepada pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12563
Kongsi :
Previous post Anak-anak Masjid Tanah terima pendidikan berkualiti
Next post ESS-15 pacu Bandaraya Melaka ke arah zon udara bersih
Ubah saiz-+=