Anggota bomba maut motosikal dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 20 Ogos – Hasrat seorang anggota bomba menamatkan zaman bujangnya tahun hadapan tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Hutan Simpan pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.45 pagi itu, Muhammad Hafize Muhammad Sabri, 25 maut di lokasi kejadian manakala pemandu wanita berusia 37 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pulau Gadong selepas tamat bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah.

Katanya, pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Masjid Tanah.

IMG_0164
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. Foto ihsan JBPM Melaka

“Hasil siasatan mendapati pemandu wanita berkenaan gagal mengawal keretanya sebaik tiba di lokasi kejadian dan memasuki ke laluan bertentangan iaitu jalan dilalui mangsa.

“Akibat kemalangan itu, anggota bomba terbabit cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian “ katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa sudah bertunang dan dijangka akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9532
Kongsi :
Previous post Aura Tun Mohd Ali tarik minat peserta keluar berjoging
Next post Sambutan Bulan Kebangsaan DUN Asahan meriah
Ubah saiz-+=