Api marak dengan cepat punca kanak-kanak perempuan terperangkap

GEORGE TOWN, 10 April – Kanak-kanak perempuan yang rentung dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini, malam tadi dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri kerana faktor api yang marak terlalu cepat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mayat mangsa, G. Sri Laavanya, 7, ditemukan terbaring di bahagian belakang katil di dalam bilik bapanya dalam keadaan rentung dipercayai cuba bersembunyi untuk menyelamatkan diri di situ.

“Kebakaran itu melibatkan tiga buah rumah sewa di situ termasuk kediaman mangsa, kanak-kanak tersebut tinggal bersama bapa dan datuk serta neneknya manakala ibunya telah lama meninggal dunia.

“Semasa kejadian bapanya tiada di rumah dan hanya terdapat datuk serta neneknya, ketika kebakaran itu mereka berdua (nenek dan datuk) telah lari keluar untuk menyelamatkan diri dan tidak sempat mencarinya kerana api sedang marak.

“Menurut mereka, selalunya kanak-kanak itu tidur di biliknya sendiri namun semalam mangsa tidur di bilik bapanya menyebabkan mereka gagal mencarinya untuk dibawa keluar bersama,” katanya di sini.

Dalam kejadian itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.19 malam tadi.

Soffian berkata nenek mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di tangan kanan dan dia telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya rumah yang dihuni mangsa bersama ahli keluarganya itu mempunyai tiga bilik dan mereka dipercayai menyewanya dengan harga RM100 sebulan.

”Dua lagi rumah turut disewa dengan tiga penghuni di setiap rumah, ketiga-tiganya terbakar dalam kebakaran tersebut dengan rumah mangsa paling teruk iaitu lebih 80 peratus. Api dikatakan berpunca daripada rumah yang dihuni keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat kanak-kanak perempuan yang merupakan anak tunggal itu selesai dibedah siasat di HPP kira-kira 12 tengah hari tadi sebelum dituntut ahli keluarganya.

Menurut Soffian punca sebenar kebakaran tersebut masih disiasat pihak berkuasa.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Forensik HPP mendapati ramai ahli keluarga kanak-kanak tersebut sedang menunggu dan mereka enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa mangsa yang disifatkan anak yang baik dan manja.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

737
Previous post 20 April tarikh lihat anak bulan Syawal
Next post RM10,000 bantu pelajar susah di lima sekolah