Sorting by

×

Aplikasi DeepAI UTeM bantu kanak-kanak Autisme jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan aplikasi DeepAI bagi membantu kanak-kanak autisme menjana pendapatan dengan menghasilkan lukisan.

Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin berkata aplikasi menggunakan teknik kecerdasan buatan (AI) itu membantu individu autisme menghasilkan seni lukisan secara automatik.

“Projek dibangunkan ini bagi menzahirkan tanggungjawab sosial dan membantu golongan berkenaan khusus anak autisme untuk mengembangkan bakat mereka.

“Kita harap aplikasi ini akan memudahkan mereka menghasilkan karya seni dan dipasarkan bagi tujuan menjana pendapatan,” katanya.

MASSILA

Menurutnya, pada kebiasaan kanak-kanak autisme mengambil masa satu hingga tiga minggu untuk menghasilkan sesebuah lukisan.

“Proses penghasilan yang lambat membantutkan usaha menjana pendapatan, namun aplikasi DeepAI mampu bantu mereka hasilkan sesebuah lukisan dalam masa sehari sahaja.

“Inisiatif ini mendapat pengiktirafan dan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melalui Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti).

“Kini UTeM bekerjasama dengan Sektor Pendidikan Khas Melaka dan Negeri Sembilan serta Persatuan Kanner Melaka bagi mengenal pasti selain melatih kanak-kanak autisme atau orang kurang upaya (OKU) berminat,” katanya.

ANTARA seni lukisan yang dihasilkan kanak-kanak autisme menggunakan aplikasi DeepAI.

Projek tersebut dijayakan sekumpulan pensyarah diketuai Prof Dr Goh Ong Sing bersama ahlinya iaitu, Dr Yogan Jaya Kumar, Dr Zuraini Othman, Dr Ngo Hea Choon dan Muhammad Helmy Emran daripada Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTeM.

Dua ahli lagi adalah Prof Dr Effendi Mohamad daripada Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Mohd Shamsuri Md Saad daripada Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan UTeM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post Persatuan di Melaka digalakkan memohon geran Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia
Next post Melaka berpotensi menjadi Pusat Kajian Warisan, Budaya ASEAN
Ubah saiz-+=