Persatuan di Melaka digalakkan memohon geran Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 17 Mei – Persatuan di negeri ini digalakkan untuk memohon geran berjumlah RM10,000 disediakan kerajaan untuk membiayai aktiviti mereka.

EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, setakat ini tidak kurang 50 peratus daripada 100 kuota disediakan sudah menerima geran berkenaan dibawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE).

Jelasnya, persatuan di bawah empat kategori iaitu kebajikan, keselamatan, sosial dan hak asasi layak menerima peruntukan terbabit berbanding sebelum ini hanya diperuntukkan buat persatuan penduduk yang berdaftar di bawah kategori sosial sahaja.

“Setakat ini kita menerima 70 permohonan dan sebanyak 44 persatuan telah disyorkan lulus menerima geran berkenaan.

“Daripada jumlah yang disyorkan lulus sebanyak 23 persatuan telah diluluskan Jawatankuasa Penilaian di peringkat ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) manakala selebihnya sedang dipertimbangkan.

“Sebanyak 19 permohonan dalam status sedang menunggu dimana ia membolehkan persatuan itu membuat pembetulan atau kemaskini bagi butiran tidak lengkap manakala sebanyak tujuh permohonan ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Perasmian Penutup Taklimat dan Penyampaian Mock Cheque Geran MyICE 2022 diadakan di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah ROS Melaka, Nurhafidah Ali; Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Deputi Superitendan Nor Azlinda Nordin dan Penolong Pegawai Daerah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Ahmed Yusrey Mohd Yusof.

Dalam program diadakan itu sebanyak 23 wakil persatuan yang terpilih daripada seluruh negeri telah menerima geran masing-masing berjumlah RM10,000 disampaikan Shanmugam.

Sementara itu, Nurhafidah berkata, permohonan yang sepatutnya ditutup pada 31 Mei depan dilanjutkan ke tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi peluang kepada persatuan yang belum untuk mengemukakan permohonan.

“Antara syarat permohonan adalah perlu menghantar laporan penyata tahunan sehingga tahun 2020, menghantar laporan lengkap bagi geran yang diterima daripada ROS pada tahun-tahun sebelum, tiada aduan salah laku untuk disiasat ROS dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1586
Kongsi :
Previous post Tak timbul isu harga tiket muzium mahal jika hargai artifak sejarah
Next post Aplikasi DeepAI UTeM bantu kanak-kanak Autisme jana pendapatan
Ubah saiz-+=