Melaka berpotensi menjadi Pusat Kajian Warisan, Budaya ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 17 Mei – Melaka berpotensi dijadikan Pusat Kajian Warisan dan Budaya bagi Asia Tenggara yang menghimpunkan pakar budaya dan warisan daripada luar negara.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, ia bagi memastikan peninggalan warisan dan budaya sedia ada sentiasa dipulihara serta terpelihara.

“Melaka tidak boleh tinggalkan budaya dan warisannya, sebab itu kita cadang untuk mewujudkan satu Pusat Budaya dan Warisan (Culture & Heritage Research Centre) di negeri ini.

“Jika sudah ada di Melaka tidak perlu lagi wujudkan pusat ini di Pulau Pinang kerana negeri ini juga punyai bangunan warisan.

“Sebab itu hari ini kita bawa dua Datuk Bandar dari Imola dan Bologna, Itali. Negara berkenaan ada banyak peninggalan warisan seperti bangunan lama yang juga ada di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan The International Urban and Regional Cooperation (IURC) Programme Melaka City- Nouvo Circindario Imolese (NCI) Bologna di Hotel Double Tree Hilton di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Imola merangkap Presiden NCI Bologna, Marco Panieri dan Datuk Bandar Bologna, Gabriele Meluzzi.

“Kehadiran mereka (datuk bandar) ini langkah yang baik kerana kita dapat berkongsi mengenai peninggalan warisan yang ada di Melaka.

“Begitu juga Datuk Bandar Imola dan Bologna akan berkongsi mengenai warisan dan budaya yang ada di negara mereka untuk kita pelajari.

“Mereka berminat untuk melihat tarikan di Sungai Melaka, pada masa yang sama akan mengadakan perbincangan mengenai polisi pembangunan bandaraya dan pusat penyelidikan warisan serta dan budaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Aplikasi DeepAI UTeM bantu kanak-kanak Autisme jana pendapatan
Next post Rumah Perantara untuk banduan wanita bakal diwujudkan di Melaka
Ubah saiz-+=