Rumah Perantara untuk banduan wanita bakal diwujudkan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SUNGAI UDANG 17 Mei – Melaka bakal menjadi negeri pertama menyediakan Rumah Perantaraan khusus buat banduan wanita dalam usaha membantu mereka memulakan hidup baru selepas selesai menjalani hukuman.

EXCO Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Kalsom Nordin berkata, perkara ini akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincang dan dibentangkan sebelum direalisasikan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata, sokongan dan bimbingan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat amat perlu dalam memastikan banduan ini membina semula kehidupan dan bergaul dengan komuniti setempat sekali gus mengelakkan perasaan disisih.

“Rumah perantara ini akan menempatkan banduan bagi tempoh tiga bulan pertama selepas dibebaskan. Saya difahamkan ketika ini rumah perantara hanya untuk bekas banduan lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Program Semarak Skuad Waja: Wanita Di Sebalik Tirai Besi di Kompleks Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penjara Melaka Roslan Mohamed dan Pengarah Kompleks Penjara Sungai Udang S S Gunasegaran.

EXCO Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Kalsom Nordin menyampaikan cenderahati kepada wakil banduan wanita dan anaknya ketika hadir pada Program Semarak Skuad Waja: Wanita Di Sebalik Tirai Besi di Kompleks Penjara Sungai Udang. Turut hadir bersama Pengarah Jabatan Penjara Melaka Roslan Mohamed dan Pengarah Kompleks Penjara Sungai Udang S S Gunasegaran. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, selain menyediakan penempatan sementara kerajaan negeri  juga membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin.

Sementara itu, beliau berkata, Program Wanita Di Sebalik Tirai Besi itu bertujuan untuk menyantuni banduan wanita dalam memastikan mereka mengetahui hak mereka semasa dalam tahanan atau selepas dibebaskan.

“Pada program ini juga seramai 10 banduan terpilih juga diberi peluang untuk bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama terpisah dengan harapan jalinan kasih yang lama terlerai dapat dieratkan semula.

“Selain itu saya juga akan cuba membawa sebanyak mungkin pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta untuk tampil membantu pihak penjara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2674
Kongsi :
Previous post Melaka berpotensi menjadi Pusat Kajian Warisan, Budaya ASEAN
Next post Guru sekolah, jiran mangsa dera akan dipanggil bantu siasatan
Ubah saiz-+=