APM Alor Gajah terima tambahan aset tangani bencana

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Dua buah bot penyelamat bersama kelengkapan enjin 15 kuasa kuda antara sumbangan yang diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka untuk diagihkan kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonal (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, selain itu pihaknya turut menerima 300 buah khemah, 150 jaket keselamatan dewasa dan kanak-kanak serta 1,500 baju hujan daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai tambahan kelengkapan bagi menghadapi bencana berlaku di kawasan Alor Gajah.

“Kita menyerahkan kepada kawasan Alor Gajah berikutan dalam rekod kita daerah itu merupakan kawasan yang paling kerap berlaku banjir berikutan keadaan kawasan yang mempunyai lembangan sungai.

“(Kelengkapan itu digunakan) sekiranya berlaku deruan monsun ataupun hujan luar biasa membuatkan Alor Gajah akan mula banjir dan setakat ini APM telah bersiap siaga bersama keperluan aset dan logistik serta kekuatan pegawai dan anggota sekiranya bencana itu berlaku di negeri ini terutama dalam musim Monsun Timur Laut.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Petronas dalam sumbangan yang diberikan kepada agensi kami dan ini mampu memberi lebih tumpuan kepada APM untuk bersiap siaga sekiranya bencana ini berlaku di Melaka pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan Program Bantuan Bencana Banjir Petronas Peringkat Negeri Melaka di Pejabat APM Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Saiful Hazwa Kipli dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, M Zaki Mahat.

photo_2022-10-19_13-32-25
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan persiapan dengan menjalankan pemeriksaan peralatan bot dan alatan menyelamat menjelang musim banjir di Pejabat Negeri APM Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu dalam program itu, M Zaki telah melaksanakan gimik penyerahan dua buat bot berserta kelengkapan lain kepada Kamarulsyah disaksikan Saiful Hazwa dalam program diadakan di padang kawad APM Melaka.

Sementara itu, M Zaki berkata sumbangan yang diberikan itu merupakan salah satu program yang dianjurkan pihaknya di seluruh negara sejak Disember tahun lalu dengan menelan peruntukan sebanyak RM25 juta diagihkan kepada seluruh negeri yang terjejas dengan bencana banjir.

Katanya, keperluan yang disumbangkan itu sekali gus menambah nilai aset keperluan agensi-agensi kerajaan di negeri terlibat termasuk Melaka dalam pengurusan misi bencana banjir sekiranya ia berlaku.

“Kita telah hampir melengkapkan ke seluruh negeri di negara ini termasuk di Negeri Sembilan dan Johor bagi mengagihkan sumbangan ini kepada agensi terlibat di negeri-negeri.

“Ini merupakan antara bentuk bantuan yang dihulurkan Petronas di mana kami mengambil cakna di atas bencana yang melanda dengan mengagihkan pelbagai jenis bantuan keperluan perlatan sebagai persediaan mereka menghadapi banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2012
Kongsi :
Previous post Jualan Pesta Deepavali tarik 30,000 pengunjung, meriahkan sambutan Deepavali
Next post Lelaki ditahan campak tiga ekor kucing milik jiran dari tingkat 15 – Polis
Ubah saiz-+=