Jualan Pesta Deepavali tarik 30,000 pengunjung, meriahkan sambutan Deepavali
MELAKA, 19 Okt – Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan jualan Pesta Deepavali yang sedang berlangsung kini hingga 24 Okt di Little India di Jalan Bendahara Banda Hilir di sini.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V P Shanmugam berkata Pesta Deepavali tersebut merupakan peluang terbaik buat kaum India untuk menjana pendapatan sempena Deepavali.
Katanya sebanyak 64 petak gerai dengan 50 khemah yang membabitkan 25 peniaga dibuka di kiri dan kanan laluan sepanjang 85 meter itu bersempena sambutan Deepavali tahun ini.
“Orang ramai boleh membeli-belah pelbagai jualan seperti pakaian, makanan, peralatan sembahyang dan perhiasan dalam keadaan yang sangat selesa berbanding sebelum ini.
“Untuk kali ini, peniaga dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 11 malam bermula 10 hingga 24 Okt, dan ini memberi ruang masa yang mencukupi bagi orang ramai membeli-belah bagi persiapan Deepavali,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shanmugam berkata pelbagai aktiviti juga disediakan seperti persembahan kebudayaan dianjurkan di pentas utama di Padang Nyiru di samping cabutan bertuah kepada pengunjung yang mengunjungi Pesta Deepavali tersebut.
“Penganjuran ini secara tidak langsung membuka ruang dan membantu peniaga kecil masyarakat India menjana semula pendapatan selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Jadi kami harap kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang pesta itu berlangsung akan memberi kesan positif kepada peniaga di sini di samping memeriahkan sambutan Deepavali,” katanya.
Dalam pada itu katanya seramai 50 kanak-kanak dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negeri turut diberi peluang memilih pakaian baharu tanpa had harga di sebuah kedai pakaian di Little India, Jalan Bendahara di sini.
Katanya program itu adalah hasil kerjasama kerajaan negeri, Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam membantu golongan tidak berkemampuan agar ceria menyambut perayaan tersebut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.