Arah semua majikan segera pindah pekerja asing dari komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA SUNGAI BARU 15 Julai – Semua majikan yang menggaji pekerja asing diarahkan memindahkan pekerja mereka dari penempatan komuniti dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menegaskan kesemua pekerja sektor perkilangan perlu segera dipindahkan ke asrama dan bangunan yang berasingan.

Jelasnya, langkah itu penting untuk mengawal pekerja asing disahkan positif COVID-19 hingga menyumbang kepada peningkatan wabak itu dalam komuniti serta mewujudkan beberapa kluster industri.

SULAIMAN.

“Keputusan itu diputuskan di bawah Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mengawal penularan COVID-19 membabitkan pekerja asing kepada penduduk setempat.

“Beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk memindahkan pekerja terlibat seperti bangunan berdekatan Melaka Sentral yang boleh menempatkan seramai 1,400 orang selain bangunan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) yang kosong.

“Ini kaedah terbaik, kita ambil maklum kes meningkat dan putuskan untuk pindah mereka keluar dari kawasan perumahan secepat mungkin dan jika ingkar tindakan tegas akan diambil dibawah akta terbabit dan kita akan arahkan untuk tutup kilang,” tegasnya.

Beliau ditemui ketika meninjau ke pusat Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Peringkat Negeri Melaka di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Kuala Linggi, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.

Sulaiman berkata, jawatankuasa terlibat akan memantau setiap kilang di negeri ini agar pekerja asing dapat diasingkan di satu penempatan yang kekal dan tidak bercampur dengan kelompok komuniti.

“Contohnya, di Perindustrian Ayer Keroh ada hampir 3,000 pekerja asing yang mana lebih seribu akan dipindahkan.

“Majikan perlu sediakan asrama pekerja masing-masing dan saya harap mereka dapat berikan kerjasama di bawah Akta 342 untuk pindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post PM tinjau penyediaan Bakul Prihatin Negara
Next post Peningkatan pesakit kategori 4 dan 5 punca Hospital Melaka kritikal
Ubah saiz-+=