Peningkatan pesakit kategori 4 dan 5 punca Hospital Melaka kritikal

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA SUNGAI BARU 15 Julai – Peningkatan jumlah pesakit COVID-19 kategori empat dan lima antara faktor fasiliti di Hospital Melaka (HM) berada dalam keadaan kritikal.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, sehingga semalam kapasiti HM masih pada kadar 91 peratus berikutan menerima pesakit COVID-19 dari penularan varian baharu di negeri ini.

Jelasnya, pesakit kategori terbabit perlu menerima rawatan hospital dalam tempoh lama melebihi sebulan menyebabkan kesesakan berlalu di hospital berkenaan.

SULAIMAN (kanan) diiringi Rahmad (dua dari kiri) meninjau kenderaan MOVAK.

“Disebabkan perkara ini tak ramai pesakit yang discaj dan dengan keadaan pertambahan pesakit baharu menyebabkan kesesakan berlaku.

“Perkara ini menyebabkan kita terpaksa ambil banyak langkah seperti menambah katil pesakit dan menggunakan segenap ruang yang ada termasuk bilik mesyuarat, auditorium dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meninjau ke pusat Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Peringkat Negeri Melaka di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Kuala Linggi, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah itu menasihatkan masyarakat agar lebih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam keadaan sistem kesihatan yang semakin kritikal di Melaka.

“Jika pesakit kategori satu dan dua tiada masalah kerana kita ada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC.

“Namun, kategori tiga empat dan lima ini membuatkan Fasiliti kesihatan agak kritikal sehingga terpaksa menempatkan pesakit di hospital daerah dan meminta hospital swasta  merawat mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post Arah semua majikan segera pindah pekerja asing dari komuniti
Next post Peluang Melaka beralih Fasa 2 PPN masih samar
Ubah saiz-+=