Peluang Melaka beralih Fasa 2 PPN masih samar

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 15 Julai – Peluang untuk Melaka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih samar berikutan belum berupaya memenuhi tiga indikator ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Negeri Melaka, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, antara indikator yang masih jauh untuk dicapai ialah kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang masih di tahap kritikal.

Selain itu, katanya, jumlah kes harian di negeri ini juga tidak menunjukkan penurunan begitu ketara dan masih berada pada tahap tiga angka.

“Hanya satu sahaja indikator yang kita dah capai iaitu dari segi pemberian vaksin yang telah melepasi syarat ditetapkan.

“Tapi dari segi ICU dan kes harian masih jauh lagi. Jadi, susah untuk kata bila kita akan beralih ke Fasa 2 PPN dengan keadaan sekarang.

“Apapun, di pihak kerajaan negeri kita telah membuat pelbagai kawalan termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersasar di kilang-kilang yang menjadi antara penyumbang terbesar kes di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Varian Delta yang kini sudah menular di hampir ke semua negeri termasuk Melaka, Abdul Ghafaar berkata situasi itu sememangnya membimbangkan, namun ia masih boleh dikawal sekiranya masyarakat tidak mengambil mudah ancaman virus berkenaan.

Justeru, beliau meminta rakyat negeri ini memainkan peranan bersama dengan mematuhi SOP dan mengelakkan tempat yang sesak bagi menjaga keselamatan bersama.

“Kita perlu ada sifat curiga dan takut yang diterapkan dalam diri, barulah kita boleh menjaga keselamatan diri dan orang lain.

“Sekarang, kita perlu hidup dengan COVID-19 kerana virus ini akan tetap ada dan kita perlu praktikkan norma baharu dalam kehidupan dengan menjaga SOP dan paling penting perlu mendapatkan suntikan vaksin untuk menguatkan badan kita melawan virus ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Peningkatan pesakit kategori 4 dan 5 punca Hospital Melaka kritikal
Next post Tiada kawat berduri dipasang di Kampung Morten – JPKK
Ubah saiz-+=