Atlet SUKMA Melaka bantu promosi TMM2024 di Sarawak

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 4 Mac – Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Melaka bakal membantu kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada temasya edisi ke-21 yang berlangsung di Sarawak bermula Ogos depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kempen promosi itu boleh dilakukan dengan meletakkan logo TMM2024 pada pakaian rasmi kontinjen Melaka sepanjang temasya tersebut.

“Memandangkan SUKMA XXI Sarawak masih dalam tempoh TMM2024, maka, perlu untuk bawa kempen ini ke Sarawak. Walaupun Melaka sebuah negeri yang kecil, tapi kita mahu menunjukkan satu semangat negeri ini yang dinamik.

“Jadi, di samping meletakkan logo penaja (pada pakaian), kita juga boleh meletakkan logo TMM2024 supaya menggamit pelancong dari Sarawak dan seluruh negara datang ke Melaka, kerana dengan bercuti ke negeri ini, mereka berpeluang membawa pulang kereta dan hadiah menarik lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat (YB), Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) Sempena Sukan Malaysia XXI, Sarawak 2024 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Ketua Menteri turut menyeru atlet-atlet yang mewakili Negeri Melaka untuk membuktikan sesuatu dan membawa pulang seberapa banyak pingat ke bumi bersejarah.

Menurutnya, di sebalik mewajah Melaka dari sudut pelaburan dan pelancongan, sukan juga menjadi antara sektor yang mahu ditransformasikan di bawah pentadbiran beliau.

“Pastinya saya akan memberikan sokongan kepada atlet-atlet di Sarawak nanti. Saya berharap bapa angkat serta jabatan angkat yang terlibat juga dapat memberikan sokongan agar kita mampu menunjukkan suatu persembahan yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Projek perumahan baharu Melaka perlu ada rumah serendah RM70,000
Next post SUKMA XXI: Melaka sasar 20 emas, hantar 709 kontinjen
Ubah saiz-+=