SUKMA XXI: Melaka sasar 20 emas, hantar 709 kontinjen

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 4 Mac – Melaka menyasarkan kutipan 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak, Ogos depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, jumlah itu merupakan sasaran sama yang ditetapkan pada edisi terdahulu.

Katanya, walaupun pada temasya edisi ke-20 di Kuala Lumpur pada 2022, atlet Melaka sekadar meraih 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa, namun pihaknya optimis pencapaian kali ini akan lebih baik memandangkan persiapan awal sudah dilakukan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka.

“Pada temasya kali ini kita percaya jumlah itu (sasaran 20 pingat emas) mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa para atlet selain beberapa sukan yang dilihat mampu menghadiahkan pingat emas termasuk sukan wushu yang kita sasarkan sebanyak 11 pingat emas daripada keseluruhan sasaran.

“Antara sukan lain yang kita percaya boleh menghasilkan pingat emas ialah akuatik, gimnastik dan gimrama, muaythai serta silat.

“Malah, kita juga menjangkakan pingat emas boleh dipertahankan dalam acara angkat berat, selain beberapa sukan ‘underdog’ seperti berbasikal yang mampu menghadiahkan kilauan pingat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat (YB), Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) Sempena Sukan Malaysia XXI, Sarawak 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah MSN Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan lain-lain kenamaan.

Menurut Shanmugam, pada temasya kali ini, Melaka akan menghantar seramai 709 kontinjen membabitkan atlet dan pegawai.

Katanya, setakat ini, persiapan atlet sudah mencapai 60 peratus dan beliau yakin persiapan penuh dapat dicapai sebelum temasya bermula.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2648
Kongsi :
Previous post Atlet SUKMA Melaka bantu promosi TMM2024 di Sarawak
Next post Melaka sasar 41,900 Rumah Mampu Milik menjelang 2030
Ubah saiz-+=