Projek perumahan baharu Melaka perlu ada rumah serendah RM70,000

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 4 Februari – Semua projek perumahan baharu berkeluasan melebihi 4.05 hektar (10 ekar) di Negeri Melaka perlu membina sekurang-kurangnya 50 peratus komponen Rumah Mampu Milik, termasuk rumah kos rendah berharga serendah RM70,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia ditetapkan menerusi Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.

Menurut Ketua Menteri, selain rumah kos rendah, komponen Rumah Mampu Milik itu juga perlu mengandungi Rumah Kos Sederhana Rendah berharga RM120,000, Rumah Mampu Milik Impian A tidak melebihi RM180,000 dan Rumah Mampu Milik Impian B yang tidak melebihi RM250,000.

“Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memastikan rakyat Negeri Melaka memiliki rumah sendiri dan pada masa sama menggalakkan penghijrahan dalam bentuk sosiopolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Di Antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Anjuran Lagenda Sdn Bhd di Mukim Paya Rumput Daerah Melaka Tengah bertempat di Bilik Tun Bijasura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin dan Pengarah Urusan Anjuran Lagenda Sdn Bhd Tee Kai Loon.

Menurut Ab Rauf, projek perumahan baharu itu akan dibina di atas di tanah Lot 17810, PN 67898 seluas 10.9 hektar (27 ekar) di Krubong, Mukim Paya Rumput iaitu berhampiran Masjid Cina.

Menurutnya, menerusi projek itu, sebanyak 423 unit rumah akan dibina yang mana ia akan merangkumi 10 peratus atau bersamaan 42 unit rumah kos rendah; 10 peratus atau bersamaan 43 unit rumah kos sederhana dan 20 peratus atau bersamaan 84 unit RMM Jenis A yang berharga lingkungan RM70,000 hingga RM180,000.

“Selain itu, ia turut membabitkan 20 peratus atau bersamaan 84 unit RMM Jenis B dengan harga jualan RM250,000; 10 peratus atau bersamaan 111 unit rumah bebas berharga RM398,000 dan 40 peratus atau bersamaan 101 unit rumah bebas dengan harga jualan RM450,000.

“Projek ini akan dibangunkan dalam dua fasa dan kerja-kerja pembangunan akan dibuat dalam tempoh 90 hari daripada tarikh kelulusan Lesen Pemaju Perumahan dan Permit Iklan diperolehi,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post Bakul makanan bantu ringankan beban
Next post Atlet SUKMA Melaka bantu promosi TMM2024 di Sarawak
Ubah saiz-+=