Ayob Khan sahkan pegawai polis wanita buat ‘live’ TikTok daripada narkotik

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 25 April – Pegawai polis wanita yang tular di media sosial kerana membuat ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi TikTok semasa operasi di sebuah premis hiburan merupakan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata hasil siasatan awal mendapati TikTok pegawai polis berkenaan memang bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikTok miliknya.

“TikTok miliknya mengandungi kandungan dan ucapan promosi (peribadi), saya tidak akan bertolak ansur dan tidak akan memilih bulu sama ada pegawai atau anggota polis yang terlibat.

“Sebarang salah laku melanggar prosedur operasi standard pasti tindakan akan diambil, kalau di Johor bukan setakat berpangkat ASP, Supt dan OCPD (Ketua Polis Daerah) pun saya ambil tindakan tatatertib, tiada tolak ansur,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu memang tidak dibenarkan dan Polis Diraja Malaysia ada mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

Ayob Khan berkata pihaknya kini menunggu tindakan susulan sama ada pegawai terlibat akan ditukar jabatan, dikenakan tindakan tatatertib atau diberi amaran, namun ia bergantung kepada hasil siasatan penuh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes pegawai polis wanita yang membuat ‘live’ TikTok semasa operasi.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain hari ini mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman membuat siasatan secara menyeluruh berhubung seorang pegawai polis wanita membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan itu.

Ia berikutan tular sebuah video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1670
Kongsi :
Previous post JPJ Melaka lelong 30 kenderaan sita selepas Aidilfitri
Next post Jurulatih renang antara empat ditahan edar syabu bernilai RM10.3 juta
Ubah saiz-+=