Azlan tabik Melaka cetus era baharu sukan sepak takraw

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Januari – Inisiatif Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) yang menjadi pencetus kepada pengenalan perjanjian dan kontrak pemain sepak takraw mendapat pujian perejam kebangsaan, Mohamad Azlan Alias.

Mohamad Azlan yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Melaka berkata, anjakan paradigma yang dilakukan itu membuktikan Melaka komited mahu mengangkat sukan tradisi itu ke satu tahap lebih tinggi, setanding bola sepak.

Katanya, usaha itu juga menunjukkan landskap sepak takraw Melaka menuju ke arah profesional dan wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Bagi saya apa yang Melaka lakukan adalah yang terbaik kerana sebelum ini tiada lagi pasukan negeri-negeri lain yang berbuat sebegini (memperkenalkan perjanjian dan mengikat kontrak pemain).

“Dengan usaha ini juga saya percaya ia akan membuatkan martabat sukan ini diangkat lebih tinggi dan pada masa sama berupaya melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw berkelas dunia.

“Saya yakin ini juga akan menaikkan semangat pemain-pemain baharu dalam sukan ini yang mana mereka pastinya akan berusaha lebih keras untuk menyaingi pemain-pemain senior suatu hari nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohamad Azlan yang bermain di posisi apit kanan sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan Penang Panthers dan KL Rovers di Divisyen Premier iaitu saingan teratas bagi kejohanan Sepak Takraw League (STL).

Namun untuk musim 2024, dia akur terpaksa ‘turun pangkat’ memandangkan Melaka terpaksa beraksi di Divisyen 1 STL.

Meskipun begitu, Mohamad Azlan tidak menganggap beraksi di liga bawahan sebagai merendahkan darjatnya selaku pemain, sebaliknya ia disifatkan sebagai satu medan kebangkitan.

“Selepas beberapa musim bermain di liga teratas, bagi saya beraksi di Divisyen 1 bukanlah satu tekanan untuk saya kerana saya lebih suka.

“Disebabkan usia saya sudah hampir 30 tahun, inilah masa untuk saya kembali bermula dari bawah dan bantu pasukan Melaka naik semula ke saingan teratas, itu misi utama saya.

“Saya juga berharap transformasi yang dilakukan Melaka ini dapat membuka mata lebih ramai penaja termasuklah Emas Anuar yang pernah menaja STL sebelum ini untuk bersama-sama mengangkat sukan sepak takraw ke satu tahap lebih tinggi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2633
Kongsi :
Previous post Amaran hujan berterusan di tiga negeri hingga esok
Next post TMM2024: Kejohanan Futsal tawar hadiah keseluruhan RM50,000
Ubah saiz-+=