Bajet 2023 Negeri Melaka: Tiada yang ketinggalan – KM

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Bajet 2023 Negeri Melaka yang bertemakan Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat diangkat sebagai bajet inklusif berteraskan ‘no one is left behind’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bajet berkenaan telah dicerakinkan kepada 11 fokus utama selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

Katanya, ia turut menggabung jalin dan menyusun semula inisiatif-inisiatif sedia ada dan baharu yang memfokuskan kepada tiga agenda utama iaitu Mensejahtera Sosio-Ekonomi Rakyat; Memulih Menuju Kemampanan Ekonomi; dan Mempercekap Perkhidmatan Awam.

Jelas Sulaiman, pada 2023, Kerajaan Melaka meneruskan inisiatif bajet lebihan atau ‘surplus budget’, dengan anggaran Perbelanjaan
Mengurus berjumlah RM455.43 juta, iaitu bagi Maksud Tanggungan dianggarkan RM11.56 juta, manakala bagi Maksud Bekalan dengan anggarannya RM443.86 juta.

Manakala perbelanjaan pembangunan pula memperuntukkan sebanyak RM82 juta dengan pecahan RM58.36 juta merupakan hasil negeri, RM23.64 juta sebagai pemberian Geran TAHAP oleh Kerajaan Persekutuan dan dan token sebanyak RM20 pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

“Untuk Bajet 2023, hasil Kerajaan Negeri dianggarkan berjumlah RM455.55 juta dengan pecahan, anggaran Hasil Cukai bernilai RM145.92 juta, Hasil Bukan Cukai berjumlah RM297.54 juta dan Terimaan Bukan Hasil bernilai RM12.09 juta.

“Bagi bajet kali ini, terdapat inisiatif lama yang dikekal dan ditambah baik dan ada juga inisiatif-inisiatif baharu yang diumumkan bertujuan menjaga aspek kebajikan rakyat Melaka merangkumi semua spektrum baik peniaga kecil, nelayan, petani, asnaf, penggiat pelancongan, belia dan ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) 2022 pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Dewan Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Menurut Sulaiman, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan tahun ini ialah seperti i-Sihat iaitu Kad Kesihatan bernilai RM200 yang akan diberikan kepada 5,394 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat membabitkan implikasi kewangan RM1.08 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian insentif RM1,000 kepada anak Melaka yang mendapat Ijazah Kelas Pertama bagi graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam dalam negara.

“Banyak lagi inisiatif-inisiatif baharu serta inisiatif lama yang telah ditambah baik yang kita rangka khusus untuk mensejahtera rakyat Melaka selaras dengan tema bajet pada kali ini.

“Pada masa sama, kita juga tidak melupakan lebih 5,000 penjawat awam Negeri Melaka dengan mengumumkan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji pada 2023 dan bantuan khas tambahan berjumlah RM700 yang akan dibayar pada bulan ini juga dengan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM10 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3059
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: Tebang pokok berisiko tertakluk arahan PBT – Exco
Next post Kajian jalan bertingkat hubung tol Ayer Keroh ke pusat bandar
Ubah saiz-+=