Sidang DUN: Tebang pokok berisiko tertakluk arahan PBT – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Penebangan pokok berisiko sederhana dan rendah wajib mendapat keizinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tertakluk kepada arahan penebangan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata bagi memastikan kejadian tidak berulang, pihak PBT akan sentiasa menjalankan kerja mengenal pasti pokok berisiko selain melakukan kerja cantasan.

“Pihak PBT akan membuat cantasan secara berkala dan menebang pokok dikenal pasti sebagai tidak sihat selain mengambil langkah dengan memastikan tiada pokok ameniti 12 kaki (3.65 meter) dari bahu jalan.

“Senarai cadangan jenis pokok-pokok berisiko juga Unit Kerajaan Tempatan (UKT) sudah masukkan dalam Garis Panduan Landskap Negeri Melaka.

“Ini usaha Kerajaan Negeri untuk mengelakkan berlakunya kejadiaan pokok tumbang yang boleh mendatangkan risiko kepada persekitaran sekeliling terutama pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Zaidi berkata sebarang aktiviti penebangan pokok bagi pembangunan sesebuah kawasan di Negeri Melaka juga dikawal dan perlu mendapatkan kebenaran PBT.

“Penebangan pokok bagi tujuan pemajuan atau pembangunan sesebuah kawasan tanpa kebenaran Kerajaan Negeri dan PBT boleh dikenakan tindakan denda berdasarkan Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933) Bahagian VA – Perintah Pemeliharaan Pokok.

“Namun bagi penebangan pokok-pokok utama ameniti yang dikenal pasti hampir mati, telah mati atau berpotensi mendatangkan bahaya kepada persekitaran sekelilingnya dibenarkan penebangannya oleh Kerajaan Negeri.

“Ia dikategorikan sebagai pokok berisiko tinggi yang perlu ditebang dengan segera oleh pihak PBT dan mana-mana jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga pokok,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2070
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: RM500,000 perluas wifi percuma di 20 ‘hotspot’
Next post Bajet 2023 Negeri Melaka: Tiada yang ketinggalan – KM
Ubah saiz-+=