Banjir: ATM sedia gerak 16,612 anggota, kenal pasti 5,496 lokasi hotspot

KUANTAN, 18 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia mengatur gerak sejumlah 16,612 anggotanya termasuk 782 pegawai sebaik sahaja banjir berlaku terutama ke 5,496 lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia melibatkan pegawai dan anggota di semua negeri dengan 4,301 daripada mereka akan bertindak sebagai pasukan responder pertama bagi melaksanakan kerja menyelamat serta memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin.

Beliau berkata atur gerak itu melibatkan 1,102 aset darat dan 251 unit bot, 295 enjin bot dan 5,573 jaket keselamatan.

“Jumlah atur gerak anggota serta aset ATM ke seluruh negara adalah fleksibel dan ATM mempunyai keupayaan tinggi untuk menambah bilangan anggota serta aset pada bila-bila masa sekiranya diperlukan selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan aset banjir kepada Kerajaan Negeri Pahang yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan barisan pentadbiran negeri.

Hishammuddin berkata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan panglima perkhidmatan telah diarah memastikan kesiapsiagaan anggota ATM berada di tahap tertinggi, terutama di negeri berisiko banjir, sejak September lepas.

Beliau juga berkata penglibatan ATM menerusi Operasi Murni antara lain akan merangkumi kesediaan pasukan perubatan ATM untuk melaksanakan bantuan perubatan di PPS dan membuka hospital medan di lokasi memerlukan.

Operasi itu turut melibatkan koordinasi bantuan pesawat ATM dan melaksanakan operasi menghantar barang keperluan ke PPS serta kawasan terputus hubungan sebelum diteruskan pasca banjir seperti melakukan kerja pembersihan dan baik pulih.

“Secara keseluruhannya, ATM cukup bersedia dan berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi bencana banjir termasuk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 dan orang ramai diminta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa, jika banjir berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan di Pahang, Hishammuddin berkata seramai 1,914 pegawai dan anggota serta 21 bot dan 35 trak disediakan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2767
Previous post Cikgu Fadli digugur pertuduhan, bebas daripada tindakan tatatertib
Next post Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar