Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah lampau

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR SETAR, 12 Okt – Lelaki yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang dekat sini pada Isnin lepas, mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek berumur 28 tahun itu sedang ditahan reman selama tujuh hari hingga 17 Okt ini.

“Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang pada Isnin.

Hasil siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang dekat Padang Hang pada hari yang sama.

Sementara itu, Wan Hassan berkata dua lagi anak suspek yang berusia lima dan satu tahun yang dijaga ahli keluarga lain kini berada di bawah pengawasan polis serta sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi. Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.

“Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1647
Kongsi :
Previous post Panel penasihat perkasa kolej komuniti
Next post Karnival Kerjaya Jelajah AKM tawar 5,000 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=