Sorting by

×

Bayar cukai tanah menang motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 27 November – “Hadiah motosikal ini mungkin asbab ganjaran daripada ujian hidup yang saya lalui baru-baru ini,” kata Sheh Abdulccader Jailanee Othman, 36, diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang Tahun 2023.

Sheh Abdulccader, 36, antara 115 pembayar cukai tanah di Negeri Melaka yang diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah bagi kempen berkenaan.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka sekali lagi terpilih sebagai pemenang hadiah utama selepas dihubungi wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pada bulan lalu.

“Memang tidak terfikir akan menang lagi kerana masih ramai pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka, apabila dimaklumkan antara pemenang utama saya fikir akan ada lagi undian untuk tentukan siapa bakal menunggang pulang motosikal tetapi sebaliknya.

“Memang teruja dan bersyukur kerana dimurahkan rezeki, sebelum saya ini diuji emak dan ayah sakit kemudiannya ayah pergi meninggal kami,” katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat, Alor Gajah itu ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah & Menang Tahun 2023 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Datuk Noraini Tawel dan Pegawai Daerah Melaka Tengah Datuk Saiful Hazwa Kipli.

Menurutnya, setiap tahun dia akan menjelaskan cukai tanah miliknya dalam kadar segera kerana risau jika terlupa sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan.

Sementara itu, bagi seorang lagi pemenang untuk kategori bonanza Zakaria Abd Hamid, 64, berkata, selepas 30 tahun membeli rumah dan membayar cukai tanah, akhirnya dia dikejutkan dengan khabar gembira apabila terpilih sebagai pemenang.

“Terkejut dan gembira apabila dimaklumkan saya terpilih sebagai pemenang bar emas kerana tidak pernah memenangi sebarang hadiah secara tiba-tiba sebelum ini.

“Kerana keterujaan itu saya yang kini menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang pulang ke Melaka untuk mengambil hadiah dan pada masa yang sama singgah di rumah emak mentua di Sungai Rambai,” katanya.

Menurut pesara itu, sudah menjadi tanggungjawab pemilik harta untuk menjelaskan bayaran cukai tanah jadi tiada alasan untuk tidak berbuat demikian kerana duit itu adalah hasil kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1319
Kongsi :
Previous post Melaka kutip RM89.8 juta cukai tanah sepanjang 2023
Next post JKM Melaka sudah bersedia hadapi Monsun Timur Laut
Ubah saiz-+=