Bayi perempuan maut, disyaki dihempap abang

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 24 Februari- Bayi perempuan berusia dua bulan maut selepas disyaki dihempap abangnya ketika sedang tidur dalam kejadian di rumahnya di Taman Bidara Setia, di sini, semalam.

Kejadian yang menimpa mangsa Maryam Sofea Meor Syazalee, disedari oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia.

Bapa bayi itu, Meor Syazalee Sha @ Meor Sha, 38, berkata, sebelum itu dia bersama isteri dan anak bongsu perempuannya tidur di bilik utama manakala tiga lagi anak lelaki mereka masing-masing berusia sembilan, enam dan lima tahun tidur di bilik berasingan.

“Ketika kami terjaga, saya dan isteri mendapati seorang daripada anak lelaki, berusia lima tahun sedang tidur di sebelah adiknya.

“Kami kemudian mendapati bayi tidak bergerak dan kemudian bergegas membawanya ke hospital sebelum pegawai perubatan sahkan anak sudah meninggal,” katanya.

Ujarnya, walaupun masih terkejut dengan pemergiannya bayinya itu namun mereka sekeluarga reda selain berharap agar orang ramai tidak melemparkan sebarang komen negatif.

“Ini ujian buat kami sekeluarga dan saya harapkan orang ramai tidak mengeluarkan komen negatif yang boleh mengguris emosi kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

“Sebab kematian masih lagi ‘pending laboratory investigation’ kerana menunggu laporan penuh dari Jabatan Kimia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post SWM-UTeM kerjasama wujudkan kampus hijau
Next post Belanjawan 2023: Enam projek tebatan banjir akan ditender semula – PM
Ubah saiz-+=