Bazar Aidilfitri mega dimasuk dalam kalender pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Penganjuran Bazar Aidilfitri mega seperti di Jalan Hang Tuah akan dicadang untuk dimasukkan ke dalam kalender pelancongan Negeri Melaka pada tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, cadangan itu akan dipertimbangkan memandangkan penganjuran bazar Aidilfitri di Melaka berupaya menarik kehadiran pelancong domestik.

Katanya, walaupun sepanjang Ramadan jumlah kehadiran pelancong menurun, namun kemeriahan dan kreativiti oleh pihak penganjur bazar berjaya menarik minat orang ramai untuk datang dan berbelanja persiapan raya di Melaka.

“Ini boleh dilihat apabila saya bertemu pengunjung di Bazar Jalan Hang Tuah, ramai di antaranya datang dari luar Melaka seperti dari Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang mahu merasai kemeriahan musim perayaan di negeri ini.

“Jadi, saya percaya dengan penganjuran yang hebat seperti di Jalan Hang Tuah ini, ia berupaya menarik kehadiran pelancong domestik walaupun sepanjang Ramadan jumlah kehadiran pelancong menurun.

“Insya-Allah, saya sebagai Exco bertanggungjawab akan berbincang bersama agensi untuk memasukkan penganjuran bazar seperti ini di dalam kalender pelancongan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB), di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut memuji pendekatan penganjur bazar berkenaan yang bukan mengejar keuntungan semata-mata, bahkan turut menyelit pengisian kemasyarakatan.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi inisiatif kutipan tabung sumbangan bagi membantu tiga madrasah di negeri ini yang mana pengunjung bukan sahaja boleh berbelanja, bahkan turut membuat amal jariah sepanjang bulan mulia ini.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada penganjuran yang amat baik seperti ini dan diharap penganjur-penganjur lain juga dapat mencontohi inisiatif seperti ini,” tambahnya.

Sementara itu, penganjur MELGRAB 2023 Muhammad Fikri Mohd Ali memaklumkan, setakat 16 April, jumlah kehadiran pengunjung di bazar berkenaan telah mencapai sasaran 1.5 juta.

Katanya, data itu dapat dinilai menerusi agihan kupon cabutan bertuah kepada pengunjung yang berbelanja RM30 di bazar berkenaan yang mana nilai jualannya kini telah mencecah RM3 juta.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), penaja dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana turut sama membantu kami mencapai sasaran ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1072
Kongsi :
Previous post Bazar Jalan Hang Tuah catat nilai jualan RM3 juta
Next post Telur, ayam, daging di Melaka cukup
Ubah saiz-+=