Bazar Jalan Hang Tuah catat nilai jualan RM3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Penganjuran Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB), di sini, berjaya mencatat nilai jualan RM3 juta setakat semalam (16 April).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan terutama selepas tiga tahun pandemik COVID-19 melanda negara yang menyaksikan ramai peniaga terjejas.

Justeru, beliau berharap penganjuran bazar mega seumpamanya dapat diteruskan pada setiap tahun bagi memberi manfaat besar kepada semua pihak, khususnya peniaga.

“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa menyokong dan mendokong usaha mengadakan Grand Bazar Ramadan seperti ini demi menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi peniaga tempatan di Negeri Melaka sekali gus meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

“Sesungguhnya, kerjasama antara penganjur dan peniaga melalui Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Bazar Melaka (PPMBM) mampu melonjakkan lagi ekonomi peniaga tempatan khususnya peniaga Melayu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MELGRAB 2023 di Pentas Utama MELGRAB, Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini, tengah malam tadi.

IMG_20230417_015236
AB Rauf menerima cenderahati daripada penganjur MELGRAB 2023 Muhammad Fikri Mohd Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta Penganjur MELGRAB Muhammad Fikri Mohd Ali.

Pada majlis perasmian itu, Ab Rauf turut menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan kepada tiga madrasah di Negeri Melaka, hasil kutipan tabung derma daripada penganjuran MELGRAB tahun ini.

Selain itu, beliau turut menyampaikan hadiah utama berupa kereta Proton Persona kepada pengunjung bertuah yang telah berbelanja RM30 di bazar berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1474
Kongsi :
Previous post Tapak pasar tani kekal di R&R Sungai Rambai
Next post Bazar Aidilfitri mega dimasuk dalam kalender pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=