Tapak pasar tani kekal di R&R Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SUNGAI RAMBAI 17 April – Pasar tani kekal Sungai Rambai dilengkapi pelbagai kemudahan akan dibina di perkarangan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai (arah selatan).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan tapak pasar tani membabitkan kos RM3 juta itu juga sudah diluluskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ab Rauf berkata, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berjaya mendapatkan peruntukan RM3 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan R&R Sungai Rambai, sebagai tapak kekal pasar tani bagi kawasan itu.

“Sebelum ini (pasar tani) tidak kekal dan berpindah-pindah. Pasar itu dibangunkan secara terbuka, kita alihkan pasar tani yang ada di bandar Sungai Rambai dengan ada fasiliti selengkapnya.

“Peruntukan berkenaan termasuk daripada segi pemindahan, pengindahan dan menjadikan pasar itu serba lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Festival Kuih Tradisional dan Pelita Raya Aidilfitri Melaka di perkarangan R&R Sungai Rambai arah selatan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, juga Adun Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.

Terdahulu, Ab Rauf menyalakan pelita gergasi di Dataran Sabit sebagai simbolik menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.

“Kita sudah berada di penghujung Ramadan jadi kita tidak tergesa-gesa (untuk memulakan operasi pasar tani kekal itu), kalau boleh pada Syawal kerana ketika itu orang ramai sudah mulakan kehidupan seperti biasa.

“Jadi keperluan untuk membeli barangan keperluan lebih meningkat lagi. Jadi kita ‘take times’ (ambil masa sedikit),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2206
Kongsi :
Previous post Lelaki bakar kedai telefon pintar marah cinta ditolak
Next post Bazar Jalan Hang Tuah catat nilai jualan RM3 juta
Ubah saiz-+=