Bekalan air Melaka mampu bertahan hingga September

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER LIMAU 11 Mei – Bekalan air Negeri Melaka untuk kegunaan pengguna industri dan domestik dijangka mampu bertahan hingga penghujung September berdasarkan kepada paras takungan semasa tiga empangan serta sumber alternatif lain termasuk kolam-kolam takungan selain sungai.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat semalam takungan di Empangan Asahan dan Empangan Jus berada pada paras 100 peratus manakala Empangan Durian Tunggal pula 98 peratus.

Hameed berkata, alternatif lain mendapatkan sumber air di Negeri Melaka adalah di Tasik Ayer Keroh dan Tasik Chin Chin di Asahan selain Sungai Batang Melaka dan Sungai Kesang.

Mengulas lanjut, Hameed berkata selain itu Negeri Melaka juga mempunyai beberapa loji seperti di Bertam, Gadek, Merlimau, Chin Chin, Sungai Siput dan Bukit Sedukoh yang memproses air secara terus dari sungai-sungai.

“Takungan di loji ini juga berada pada paras normal. Meskipun cuaca panas disebabkan El Nino dijangka menyebabkan kemarau, insya-Allah berdasarkan paras air semasa pengguna tidak akan terjejas, boleh guna seperti biasa.

“Namun sebagai langkah berjaga-jaga catuan atau bekalan berkala akan dilaksanakan jika paras air di empangan utama ini turun ke 70 peratus. Sebelum ini catuan dilaksanakan selepas air turun ke paras 40 peratus tetapi kali ini kita tidak mahu mengambil risiko.

“Jika catuan dilaksanakan selepas air turun ke paras 70 peratus bekalan untuk kegunaan di Negeri Melaka masih mampu bertahan hingga penghujung November meskipun tanpa sebarang hujan bermula hari ini (10 Mei),” katanya ketika ditemui di Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, aduan mengenai gangguan bekalan semasa yang dilaporkan bukan disebabkan Negeri Melaka kekurangan sumber sebaliknya lebih kepada permasalahan seperti paip pecah atau kerja penyelenggaraan yang dijalankan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Bagaimanapun beliau tetap menasihatkan orang ramai khususnya pengguna domestik di Negeri Melaka agar menggunakan air secara bijak sebagai langkah membantu kerajaan berdapan musim kemarau.

“Meskipun cuaca panas dijangka setakat September, namun boleh jadi fenomena itu berlarutan hingga penghujung tahun, jadi lebih baik kita mengambil langkah awal dengan menjimatkan air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1669
Kongsi :
Previous post Perkhidmatan tren di enam stesen LRT dibuka semula esok
Next post Melaka lancar Kod QR Prih@tinJkmMelaka
Ubah saiz-+=