Belajar bidang teknikal, hebat di pentas tari

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Julai – Bukan hanya bijak dalam bidang berasaskan TVET (Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional), tetapi juga versatil dalam bidang-bidang lain, termasuk bidang seni.

Itu yang cuba ditonjolkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Bahagian Kebudayaan dan Muzik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Malah, siapa sangka sejak awal penubuhan universiti berkenaan terdapat sebuah kelab tarian yang masih aktif sehingga kini, yang diberi nama Kelab Kebudayaan Tarian Melayu UTeM (Dur Adikarya).

Menurut Pegawai Kebudayaan (Unit Tarian) HEPA UTeM Datin Wira Rosmiza Mohd Saad, kelab itu ditubuhkan dengan matlamat memberi peluang kepada pelajar mendalami seni tarian sekali gus menonjolkan bakat mereka, selain dalam bidang teknikal.

“Malah, kelab ini juga menyatukan serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pelajar melalui aktiviti kesenian di universiti.

“Tidak banyak cabaran dalam mendidik pelajar dari bidang teknikal ini kerana displin, masa dan bakat dari pelajar telah sedia ada segalanya menjadi mudah dalam latihan berkumpulan,” katanya.

Menurut beliau, kelab berkenaan kini mempunyai seramai 25 orang ahli dan pelbagai kejayaan telah diraih mereka sepanjang penubuhan.

WhatsApp Image 2023-07-10 at 09.48.05 (1)
SESI latihan yang diadakan.

Katanya, antara kejayaan membanggakan yang diraih ialah Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2018/2019; Piala Gambang Mustika Gangsa MAKUM; Tempat Ke-3 Festival Tari Malaysia Zon Selatan 2022; Tempat Ke-3 dan Anugerah Perak Busana Terbaik sempena Festival Tari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Peringkat Kebangsaan 2022 dan Tempat Ke-6 sempena Festival Kesenian Zapin di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, bulan lalu.

“Malah, Naib Canselor UTeM dan Timbalan Naib Canselor HEPA sentiasa memberikan sokongan penuh pengembangan bakat pelajar, asalkan mereka bijak membahagikan masa dengan pembelajaran.

“Sehingga kini, kelab ini aktif menerima jemputan persembahan dalam dan luar universiti, antaranya pernah membuat persembahan di Semarang, Indonesia dan di Korat, Thailand.

“Kelab Dur Adikarya juga menerima jemputan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengadakan persembahan Malam Kebudayaan Minggu Pelajar Baharu serta Pesta Konvo UTeM pada setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, mereka yang berminat menjemput Kelab Kebudayaan UTeM membuat persembahan bolehlah berbuat demikian menerusi emel [email protected] atau ke laman Instagram utem_kasawari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post OOTD di ‘Maldives of Melaka’
Next post Keputusan STPM 2022 pada 13 Julai
Ubah saiz-+=