Belanjawan Melaka 2021: Lega namun masih ada yang terpinggir

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 16 Dis. – Pelbagai insentif dan inisiatif kepada sektor pelancongan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Melaka 2021 sememangnya memberi kelegaan kepada pemain industri di negeri ini.

Antara insentif yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali ialah seperti pengecualian cukai pelancongan dan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi hotel dan syarikat pelancong, selain turut memberi insentif kepada penarik beca, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancong.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka Madelina Kuah Wey Lee berkata, pengumuman itu seperti bantuan tunai one-off sebanyak RM200 seorang kepada 173 pemandu pelancong dan 141 pemandu bas pelancong menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan negeri dalam membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk susulan penularan pandemik COVID-19.

Namun, baginya, masih ada dalam kalangan pemain industri pelancongan yang terpinggir dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya, contohnya seperti ejen pelancongan dan penghibur jalanan yang kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Ejen pelancongan boleh dikatakan hilang sumber pendapatan. Walaupun pintu sempadan antara negeri sudah dibuka, mereka masih tidak boleh menjual pakej pelancongan memandangkan pengunjung biasanya pergi terus kepada pengusaha pelancongan yang mereka inginkan.

“Boleh dikatakan mereka kini tiada perniagaan langsung. Bayangkan pakej pelancongan dalam negara pun susah nak jual, jadi bagaimana dengan nasib mereka?

“Perkara sama juga dialami penghibur jalanan, seperti buskers dan lain-lain. Kebanyakannya tiada pendapatan sedangkan mereka ada bil-bil yang perlu dibayar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, Melaka perlu menjadikan contoh seperti di negeri seperti Selangor, Johor dan Sabah yang telah memberikan bantuan berupa insentif kepada ejen pelancongan dan pemain industri lain yang terkesan.

Hal itu, jelasnya bagi membolehkan golongan-golongan itu mampu bangkit semula untuk menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan pasca COVID-19.

“Kita harap sangat kerajaan negeri dapat pertimbangkan bantuan kepada golongan yang masih terpinggir ini.

“Kita percaya bantuan yang diberikan mampu membantu Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan untuk bangkit semula selepas pandemik ini berakhir,” ujarnya.

Rabu lalu, Sulaiman membentangkan Belanjawan Melaka 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta, sekali gus mencatat lebihan 17 tahun berturut-turut sejak 2005.

Belanjawan bertema Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia itu menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 14.32 peratus, berbanding belanjawan tahun lalu sebanyak RM390 juta.

Views:

576
Kongsi :
Previous post Ahmad Ridhwan bangkit teruskan kehidupan
Next post Hutang negara berada pada had dibenarkan
Ubah saiz-+=